Pengenalan Visi dan Misi Tahunan:
Koperasi Green sudah terlalu lama ditadbir dan diurus mengikut acuan pentadbiran dan pengurusan Jabatan Kerajaan dan ini telah membantut pergerakan dan pertumbuhan ekonomi Koperasi Green. Pergantungan kepada pendapatan daripada projek Taman Sri Rimba sudah berakhir dan perbelanjaan mentadbir dan mengurus Koperasi dengan menggunakan perolehan daripada sewa ladang bukanlah satu amalan yang sihat bagi Koperasi Green.
Dari setahun ke setahun, kos mentadbir dan mengurus Koperasi Green semakin meningkat dan trend ini perlu dikawal. Usaha perlu diambil untuk mencari punca pendapatan lain yang boleh bagi menampung sepenuhnya kos mentadbir dan mengurus Koperasi Green.
Konsep pentadbiran dan pengurusan ala abc atau kampungan sudah lapuk dan tidak sesuai jika diambilkira kekuatan dan keupayaan kewangan Koperasi Green. Pentadbiran yang lebih menumpukan kepada projek mega dan tidak mengawal perbelanjaan dengan efektif perlu berubah dengan menyerap elemen-elemen pentadbiran dan pengurusan yang lebih berhemat, telus, efisyen dan berdaya maju. Koperasi Green memerlukan suatu organisasi yang mengamalkan budaya niaga dan mesra anggota.
Dalam usaha ke arah mencapai matalamat mempertabat dan memperkasakan Koperasi Green, Koperasi Green wajar ada visi dan misi tahunan bagi memperlihatkan keupayaan dan kemampuan Koperasi bergerak ke hadapan dalam masa setahun. Organisasi yang tidak mempunyai visi dan misi tak ubah seperti belayar tanpa haluan.
Lembaga Koperasi Green tidak boleh lagi berselindung dengan kata-kata “ini kerja sukarela dan saya sibuk” apabila berlaku kelembapan pentadbiran dan pengurusan. Jika dilihat kos yang diperuntukkan untuk elaun Anggota Lembaga adalah amatlah tinggi. Justeru itu Lembaga Koperasi Green perlu mencari, berusaha dan mendapat sumber pendapatan bagi menampung kos ini.
Bagi sesi 2006/2007, buat julung kalinya, Koperasi Green bergerak di atas landasan yang bermatlamat bagi merealisasikan visi dan misi yang telah ditetapkan dan bagi meneruskan kesinambungan usaha-usaha tersebut suatu cadangan visi dan misi bagi sesi 2007/2008 telah disediakan.
Visi dan Misi 2007/2008:
1. Pantau pelaksanaan bagi mantapkan sistem pentadbiran, pengurusan dan kewangan Koperasi, Syarikat Green Ladang dan Stesen Minyak.
2. Perkenal imej baru Koperasi : kad keahlian lebih canggih, logo baru koperasi, cipta bendera dan lagu koperasi.
3. Mempelbagai dan pergiatkan aktiviti perniagaanbagi janakan sumber pendapatan baru untuk tampung sepenuhnya kos tadbir dan urus Koperasi tanpa guna pendapatan daripada Green Ladang. Manakala pendapatan stesen minyak mungkin terjejas akibat operasi stesen minyak Petronas berhampiran.
4. Perkenalkan produk komersil jenama Koperasi untuk menjana sumber pendapatan koperasi.
5. Pertingkat keupayaan sumber manusia melalui R & D terutamanya dalam bidang perniagaan.
6. Memperkasakan sistem maklumat melalui penggunaan laman web & e-mel dan pergiatkan sebaran maklumat melalui wakil koperasi.
7. Gubal suatu panduan berhubung dengan Fungsi & Had Kuasa Lembaga dan Kod Etika Ahli Anggota Lembaga.
8. Rombak dan gubal semula Undang-Undang Kecil Koperasi.
9. Selesaikan masalah-masalah berkaitan dengan:
9.1. Ketidaktelusan dan sikap pemaju projek Taman Sri Rimba yang cenderung mengelirukan Koperasi dalam hal penentuan kelayakan pendapatan Koperasi.
9.2. Penyempurnaan Perjanjian Pinjaman kepada anggota-anggota yang membeli rumah di Taman Sri Rimba yang masih sengaja dihalang oleh pemaju.
9.3. Rundingan kadar sewa dan potongan RM 40.00 oleh Borneo Samudera Sdn Bhd.
9.4. Perjanjian dengan Exxon bagi dapatkan kadar Fee Kendalian Stesen yang lebih bersesuaian.
9.5. Tuntut dan hapus hutang lapuk pasaraya dan stesyen minyak.